Monday, November 25, 2019

BBM3410Satu2019: Ulasan Buku Kajian Wacana dan Strategi Komunikasi: Teori dan Aplikasi Normaliza Abd Rahim (2019)

Assalamualaikum dan selamat sejahtera..

       Pada hari saya ingin berkongsi tentang satu ulasan berkaitan sebuah buku yang bertajuk Kajian Wacana dan Strategi Komunikasi: Teori dan Aplikasi. Buku ini ditulis oleh Normaliza Abd Rahim dan telah merangkumi sebanyak tujuh bab. Dalam bab 1 telah meliputi tentang pengenalan kepada kajian wacana yang berkaitan dengan sistem komunikasi. Dalam bab 2 telah menerangkan tentang beberapa teori dan pendekatan wacana seperti teori Analisis Wacana Brown & Yule (1983), Teori Analisis Wacana Stubbs (1983), Teori Analisis Wacana Kritis vanDijk (1977) dan Pendekatan Analisis Normaliza Abd Rahim (2018). Dalam Bab 3 pula menerangkan tentang analisis wacana tekstual ujaran yang dikaitkan dengan sebuah kajian dan seterusnya Bab 4 adalah berkenaan dengan strategi komunikasi. Dalam Bab 5 beralih kepada taksonomi dan pendekatan strategi komunikasi dan seterusnya diterangkan tentang analisis strategi komunikasi dalam kalangan kanak-kanak dalam bab 6. Akhir sekali dalam Bab 7 telah menjelaskan tentang cadangan kajian untuk akan datang yang melibatkan kajian wacana dan strategi komunikasi.
     
       Buku ini telah memberi implikasi kepada individu yang ingin membuat penyelidikan berkaitan dengan kajian wacana dan strategi komunikasi. Dalam hal ini, beberapa kajian yang dijelaskan dalam buku ini sangat membantu penyelidik untuk dijadikan sumber rujukan. Hal ini demikian kerana penulis telah mengemukakan beberapa kajian yang sangat teliti dan mendalam dan disertakan dengan beberapa analisis kajian, teori dan pendekatan daripada beberapa tokoh. Hal ini jelas menunjukkan bahawa penyelidik boleh menjadikan buku tersebut sebagai bahan rujukan untuk digunakan dalam kajian ilmiah kerana ia bertepatan dengan kajian khususnya berkaitan dengan bidang bahasa iaitu kajian analisis wacana. Selain itu, buku ini dapat memberi kesan yang mendalam kepada pembaca terutama dalam pemahaman setiap tulisan, teks, ujaran dan interaksi. Menerusi penelitian yang dibuat berdasarkan buku ini, ia telah menerangkan bahawa  strategi komunikasi sangat diperlukan oleh setiap individu sama ada dalam bentuk lisan ataupun tulisan bagi memastikan penggunaan bahasa dapat disampaikan dengan baik. oleh itu, jelaslah menunjukkan buku ini sangat membantu setiap pembaca dalam usaha untuk merangka strategi komunikasi yang berkesan.

Rujukan :

Normaliza Abd Rahim. (2019). Kajian Wacana dan Strategi Komunikasi Teori dan Aplikasi. Kuala Terengganu. Penerbit: Universiti Malaysia Terengganu

Buku : Kajian Wacana dan Strategi Komunikasi: Teori dan Aplikasi
Harga : RM20


No comments:

Post a Comment