Monday, September 30, 2019

BBM3410Satu2019: SUATU KETIKA

ASSALAMUALAIKUM.......

Pada hari ini saya akan menceritakan tentang keluarga saya. Saya Nor Fatin Syuhaida Binti Abdul Gani dilahirkan dalam sebuah keluarga yang sangat bahagia. Ayah saya bernama Abdul Gani bin Abdul Karim dan ibu saya pula bernama Che Ah bt Che Ahmad. Saya  mempunyai tujuh orang adik-beradik dan saya merupakan anak yang ketiga dalam keluarga. Saya mempunyai seorang abang yang merupakan anak sulung dan anak kedua pula adalah kakak saya. Kakak saya sudah berkahwin dan dikurniakan tiga orang anak. Saya mempunyai dua orang adik lelaki dan dua orang adik perempuan dan masing-masing masih bersekolah. Adik saya iaitu anak keempat dalam keluarga baru sahaja menamatkan pelajarannya dengan mengambil jurusan Diploma Kesetiausahaan di salah sebuah institusi pendidikan swasta. Kini, dia sudah mula melangkah ke alam pekerjaan dengan mencari pengalaman bekerja di sebuah syarikat yang bertempat di Pulau Pinang. Manakala anak yang kelima dan keenam masing-masing sibuk dengan tuisyen sebagai pecutan terakhir kerana mereka akan menduduki peperiksaan awam pada tahun ini iaitu SPM dan PT3. Alhamdulillah, baru-baru ini saya memperhati mereka secara tanpa mereka sedar, mereka agak bersungguh-sungguh menuntut ilmu dan mereka juga rajin menghadiri tuisyen yang diadakan oleh pihak sekolah. Adik saya yang bongsu pula adalah pelajar tingkatan satu di sekolah yang sama dengan abang-abangnya. Dia sangat manja dengan abang-abangnya dan mereka sangat akrab ketika berada di rumah.

Ayah saya merupakan seorang jurulatih muay thai di kampung. Beliau telah mengajar selama 25 tahun di bawah Kelab Muaythai Gajah Putih. Beliau mempunyai ramai pelajar termasuklah anak-anaknya. Saya turut berkesempatan untuk berlajar seni mempertahankan diri dan saya berasa sangat bertuah kerana diberi peluang tersebut. Walaupun saya merupakan anak jurulatih, saya  masih diajar tanpa pilih kasih oleh ayah dan kadang kala saya dimarahi kerana main-main sewaktu latihan. Pengalaman yang paling menarik dalam hidup saya sepanjang menjadi ahli kelab Muaythai Gajah Putih, saya telah diberi peluang untuk menemani abang saya ketika dia dipilih untuk mewakili kelab dalam Pertandingan Muaythai yang dianjurkan dalam peringkat zon utara yang bertempat di Kepala Batas, Pulau Pinang. Pada ketika itu, saya melihat wajah-wajah yang menginginkan kemenangan berpihak kepada abang saya. Akhirnya, abang saya memenangi pertandingan tersebut dan kami berasa sangat gembira dan sangat kagum dengan kemenangannya. Itulah titik permulaannya dalam dunia seni pertahankan diri untuk abang saya. Ayah saya turut memilih anak-anak buahnya yang lain untuk bertanding dalam setiap pertandingan yang dianjurkan. Kelab Muaythai Gajah Putih sangat meninggalkan kenangan yang bermakna buat kami sekeluarga.

BBM3401Satu2019: TIP BELAJAR DENGAN MUDAH


ASSALAMUALAIKUM..

Pada hari ini saya akan berkongsi sedikit tip untuk belajar dengan mudah. Sebagai seorang pelajar, kita harus mengambil langkah untuk belajar secara efektif bagi mendapatkan kecemerlangan dalam hidup. Salah satu tip untuk belajar dengan mudah adalah menampal dengan nota-nota penting pada dinding. Dalam hal ini, para pelajar haruslah bijak memilih isi-isi penting untuk dijadikan dijadikan sebagai nota ringkas. Kemudian, nota-nota tersebut perlu ditampal di tempat-tempat yang mudah dilihat seperti di bilik masing-masing.Nota yang dibuat juga boleh dibuat dengan menarik.
   Tip yang kedua adalah menukar, perkataan, ayat atau definisi ke dalam bentuk gambar rajah atau peta minda. Dalam hal ini, pekajar haruslah kreatif untuk mereka peta minda yang bersesuaian dan kemudian barulah boleh mengadaptasi maklumat yang tersebut ke dalam bentuk gambar rajah iaitu dengan memasukkan isi-isi penting ke dalam gambar rajah. Hal ini dapat menjadikan nota-nota yang dibuat akan kelihatan lebih menarik dan mudah difahami.

Monday, September 23, 2019

BBM3410Satu2019: Masih Di Sini


Cerita yang tidak dapat saya lupakan adalah ketika saya pergi melancong bersama kawan-kawan saya di Pahang. Memandang pada minggu lepas semua pelajar tidak dapat meneruskan kuliah kerana telah mendapat arahan dari pihak atasan untuk menangguh kuliah akibat daripada bencana jerebu, jadi kami bercadang untuk keluar melancong di kawasan yang tidak terlibat dengan jerebu. Oleh itu, kami mencapai kata sepakat untuk melancang di Berjaya Hills Resort, Bukit Tinggi, Pahang. Lokasi tersebut adalah tidak jauh dari UPM dan hanya mengambil masa selama dua jam untuk sampai ke destinasi. Sepanjang berada di sana, kami berasa sangat teruja kerana udara yang agak baik dan pemandangannya sangat cantik. Kami mengambil peluang untuk bergambar untuk dijadikan kenangan dan kebetulan semester ini adalah semester terakhir buat kami untuk keluar bersama. Kemudian kami pergi melawat ke Japanese Village. Pengalaman yang paling tidak dapat saya lupakan adalah kami langsung tidak menyangka bahawa kami perlu mendaki sebanyak 88 anak tangga untuk sampai ke tempat itu. Masing-masing agak keletihan ketika mendaki untuk sampai ke tempat itu. Mujurlah rakan saya tidak pitam pada ketika itu.

Sunday, September 22, 2019

BBM3410Satu2019: Nenek dan Datuk

CERITA SOSIAL 1 : NENEK DAN DATUK
HASIL DARIPADA : PROF.MADYA DR NORMALIZA ABD RAHIM


Kisah ini menceritakan seorang kanak-kanak yang bernama Alim bersama keluarganya yang tinggal di bandar pulang ke kampung halaman nenek dan datuknya. Alim berasa sangat teruja dan dia tidak sabar untuk bermain dengan ayam dan itik di kampung. Tetapi malangnya, ketika mereka sekeluarga sampai di rumah nenek dan datuknya Alim mendapati ayam dan itik datuknya sudah tiada di reban seperti selalunya. Dia berasa sangat sedih tetapi datuknya menyapa dan menyatakan ayam dan itik bukan sudah tiada tetapi telah dipindahkan ke reban yang baharu. Kemudian Alim sekali lagi berasa sedih kerana dia berasa suasana di kampung terutama dalam rumah nenek dan datuknya sudah berubah dan tidak seperti dahulu. Kemudian datuk dan neneknya lantas datang menenangkan Alim dan dia kembali mengingati semuanya tentnag kampung nenek dan datuknya.
                                                                   ( sumber: Kajian Wacana dan Strategi Komunikasi,2019)


Penyebaran yang sesuai berkenaan cerita sosial di atas sangat sesuai dikongsi dalam media sosial khususnya dalam blog dan Facebook. Hal ini demikian kerana penulisan berkaitan penceritaan sangat menjadi kegemaran pembaca dan media sosial berkenaan sangat popular dalam kalangan masyarakat kini. Bagi penulisan blog, penulis boleh menulis apa sahaja dengan harapan dapat memberi manfaat dan teladan pembaca dan begitu juga penyebaran dalam laman muka buku. 

BBM3410Satu2019: Etika Penulisan Blog

Menurut Normaliza Abd Rahim (2014), blog merupakan satu medium perbincangan bertulis sama ada dalam bentuk formal atau tidak formal. Dalam hal ini, penulis blog haruslah mempunyai etika ketika menulis blog khususnya dalam  berinteraksi dengan pembaca dan penulis blog yang lain. Hal ini dapat meningkatkan keyakinan untuk menulis blog dan menjadikan blog tersebut sebagai sebagai salah satu wahana ilmu dalam kalangan pembaca sekiranya setiap penulis blog mementingkan etika dalam penulisan blog. Berikut adalah merupakan beberapa etika penulisan blog iaitu :

1) Tajuk yang menarik dan boleh menarik perhatian pembaca.
Dalam penulisan blog, perkara yang paling utama yang harus diambil berat adalah merupakan tajuk blog. Normaliza Abd Rahim (2014) telah menyatakan bahawa menulis blog boleh dijadikan sebagai proses untuk menolong dan mempertingkatkan motivasi pelajar dalam kehidupan. Oleh itu, sebagai penulis blog haruslah berdaya kreatif dalam mencipta tajuk blog bagi menarik minat para pelajar untuk membaca perkongsian berkenaan dengan harapan dapat memberi manfaat kepada pembaca.

2) Cerita menarik yang dapat menarik hati pembaca.
Penulis blog juga sewajarnya membuat penelitian dalam mengolah sesuatu cerita supaya dapat melahirkan perasaan selesa dalam kalangan pembaca untuk meneruskan pembacaan mereka hingga selesai. Hal ini demikian kerana pengolahan cerita yang menarik sudah tentu dapat menarik hati pembaca sehingga ke pengakhiran cerita yang telah dipersembahkan oleh penulis. Oleh itu, menulis blog boleh dijadikan satu aktiviti yang berguna bukan sahaja untuk meningkatkan keyakinan dalam menulis tetapi juga sebagai motivasi untuk belajar menulis dengan kreatif dan imaginatif. (Normaliza Abd Rahim, 2014)

3) Masukkan ayat yang humor dan berbentuk jenaka untuk membuatkannya lebih menarik.
Penulisan blog mempunyai salah satu ciri iaitu bersifat peribadi. Sifat tersebut mampu memberi ruang kepada penulis untuk mencipta penulisan mengikut kehendak dan citarasa tersendiri seperti memasukkan ayat yang humor dan berbentuk jenaka untuk membuatkannya lebih menarik. Hal ini dapat melahirkan suasana yang selesa yang selesa dalam kalangan pembaca kerana pembaca dapat membaca pos yang ditulis dalam keadaan yang ceria. Tambahan pula, penerapan unsur-unsur humor dan berbentuk jenaka turut mampu dijadikan salah satu sumber bacaan untuk menghilangkan stress.

4) Memastikan terdapat hujah terbaik untuk menghuraikan penulisan anda.
Teknologi kini mampu memberi ruang kepada semua orang menyatakan pandangan sama ada secara lisan atau tulisan dan secara formal atau tidak formal. Dalam hal ini, penulisan blog telah dijadikan saluran komunikasi secara meluas. Oleh yang demikian, penulis blog hendaklah memastikan terdapat hujah yang terbaik untuk menghuraikan penulisan anda. Hal ini demikian kerana blog adalah merupakan teknologi yang menawarkan perkongsian maklumat dan idea yang harus dipertanggungjawabkan oleh penulis atas setiap hujah yang dikemukakan dalam setiap pos.

5) Kaitkan penulisan anda dengan berita terkini.
Penulisan yang baik hendaklah ditulis dengan meneliti perkembangan semasa. Dalam hal ini, penulis perlulah mengaitkan penulisan blog dengan berita terkini supaya ia dilihat sentiasa segar dalam era penulisan blog. Penulis haruslah sentiasa peka dan mengambil peduli terhadap keadaan sekeliling supaya dapat menjadikan ia sebagai salah satu perkongsian dalam pos bagi penulis berkenaan.

6) Gunakan perkataan dan struktur ayat yang ringkas.
Penulis juga disarankan untuk menggunakan perkataan dan struktur ayat yang ringkas supaya dapat menarik menarik perhatian pembaca dari setiap lapisan umur. Penggunaan ayat yang ringkas dapat membantu penulis untuk mengurangkan kesalahan dalam penggunaan ayat terutamanya dalam tatabahasa. Hal ini dapat memberi ruang kepada penulis untuk mempelajari struktur ayat yang mudah dan boleh meningkatkan kemahiran menulis khususnya dalam pembelajaran bahasa.

7) Dapat dibaca dan difahami.
Penulisan blog yang menjadi kegemaran pembaca bukan sahaja menarik tetapi haruslah dapat dibaca dan difahami oleh pembaca. Penulisan blog yang baik sudah tentu mampu meninggalkan kesan yang positif dan boleh dijadikan sebagai bahan motivasi dalam kalangan pembaca kerana ia mudah difahami dan mampu dihayati oleh sesiapa pun yang membacanya.

8) Dapat berkomunikasi dengan pembaca.
Wnag & Woo (2008) menyatakan bahawa blog merupakan alat teknologi yang menwarkan peluang kepada pengguna untuk menyusun maklumat, menyiar dan berkongsi idea, maklum balas, memberi komen, menilai hnantaran dari orang lain, bertanggungjawab terhadap penulisan dan pembelajaran mereka dan meletakkan pendapat mereka dalam penulisan. hal ini telah menunjukkan bahawa penulisan blog sekaligus memberi ruang kepada penulis untuk berkomunikasi dengan pembaca.

9) Masukkan moral dan nilai etika dalam penulisan anda.
Penulis blog turut disarankan menyelitkan nilai etika dan moral dalam penulisan supaya dapat memberi pengajaran kepada pembaca. Hal ini dapat meninggalkan kesan kognitif dan emotif terhadap pembaca sewaktu menghayati penulisan yang disampaikan oleh penulis menerusi pos yang yang telah dikongsi.
10) Berilmu untuk pendidikan
Tekonologi kini telah menggariskan kaedah pembelajaran menerusi blog pendidikan. Hal ini sangat berguna untuk para pelajar khususnya di peringkat universiti kerana para pelajar dapat mempelajari pelbagai saluran komunikasi dan boleh berinteraktif secara dalam talian. Hal ini sekaligus dapat memperbaiki kemahiran berbahasa khususnya dalam proses penulisan dalam kalangan pelajar.

Monday, September 16, 2019

BBM3410Satu2019: SAYA FAHAM

Lagu & Lirik : Profesor Dr. Normaliza Abd Rahim
Hak Cipta: Universiti Putra Malaysia

Saya Faham

Saya kata "Apa khabar"
Dia jawab "Khabar baik"
Ucapan untuk dia
Ucapan untuk saya

Selamat pagi, tengah hari, petang, malam
Untuk dia
Untuk saya

Terima kasih
Sama-sama
Untuk dia
Untuk saya

Terima kasih
Sama-sama
Untuk kita
Untuk mereka


BBM3410Satu2019: Diri

Assalamualaikum.

 Nama diberi Nor Fatin Syuhaida Bt Abdul Gani. Saya berasal dari Sik, Kedah. Saya merupakan pelajar Universiti Putra Malaysia yang bernombor matrik 188350 dan merupakan pelajar Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi. Saya mengambil jurusan Bahasa dan Linguistik Melayu. Tempoh pengajian saya adalah selama 3 1/2 tahun. Saya berasa sangat teruja setiap kali dapat belajar sesuatu yang baharu terutamanya dalam bidang bahasa yang berkaitan dengan interpretasi dan penterjemahan. Saya tinggal di Kolej 12. Hobi saya ialah memasak tetapi hobi tersebut hanya mampu diteruskan di rumah sahaja kerana kini saya tinggal di kolej. Memandangkan semua pelajar tidak dibenarkan dengan memasak di kolej, jadi saya lebih suka keluar bersiar-siar bersama rakan-rakan ketika masa lapang. Saya sangat menyukai satu tempat di kawasan UPM iaitu Bukit Ekspo kerana saya dapat menghayati keindahan alam seperti berjalan-jalan di tepi kolam sambil memberi makan ikan-ikan di kolam berkenaan. Selain itu, saya juga suka menyertai aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh pihak kolej.
Sekian sahaja dari saya.